AKU BUKAN HIPOKRIT

Nilai Puisi
Home
Prawacana Sastera Pasca PRU Ke-12
Pemilihan Tampuk GAPENA 2008
Luka Penyair
Pergi Selamanya
Kasihnya Ibu
Musibah Keluarga
Festival Puisi Perlbagai Kaum Malaysia 2005
Kolokium PUTERA Ke- 25 Tahun
Lupa Diri Bila Jadi Orang Besar
Profil Diri
Paideia
Famili Asas
Skrin Kenangan
Paparan Nostalgia
Karya Diterbitkan
Khabar Berita
Stesen Berkhidmat
Asal Usul
Kerabat Terdekat
Wadah Sosial
Sahabat Akrab
Kertas Kerja
Speculum In Aenigmate
Wacana Bisaya
Penghargaan
Weltanschauung Pendidikan
Eksplikata Bisaya
Eksplikandum Sosial
Ego-Cogito
Agenda Pendidik
Nilai Puisi
Daerah Puisi
Menukangi "Diinjak-Injak"
Esok Bermakna
Budayaku & Bangsaku
Mulut Terkunci
Memperkasa Diri
Kumpulan Tidak Menjadi
OUNA -Laluan Beronak Duri.
Memperkasa Hati
Anak-Anakku
Lagu Bisu Suara Hati

Pahlawan Zaman Silam Bersilat Menggunakan Keris Keramat Kini Kita Bersilat Menggunakan Pedang Kata-Kata. 

Sebagai mana yang saya nyatakan dalam tulisan yang lebih awal, rasa terinjak-injak yang amat menyakitkan batin itulah telah melontarkan saya menjadi manusia yang perasa dan mulai kenal sikap manusia itu sendiri. Selamanya saya dianggap "yes man" sahaja dan mengikut rentak yang diarahkan, kini telah bertumbuh semacam fenomena baru dalam diri saya untuk meneliti segalanya, bukanlah pula menandakan saya mulai sombong atau bongkak tetapi ini simbol menyatakan bahawa sebagai manusia yang pernah dipandang rendah, saya ingin membuktikan kehadiran saya dalam jagatraya yang mulia ini. Saya menanggapi bahawa, jagatraya ini milik semua yang gagah perkasa pada hari ini dan seterusnya. Yang lemah akan tewas dan tumpas tanpa darah merah yang mengalir. Perjuangan di sini, cukup liat dan kental. Oleh itu sesiapa sahaja harus berani bertarung dengan kehidupan ini sendiri,harus ingat mesti menang atau lupakan sahaja kalau kita mampus tertewas. Saya melihat perjuangan ini semakin sengit, sebahagian sahaja manusia yang dapat menjulang piala kemenangan yang dimiliki tanpa upacara keramat atau majlis besar-besaran, cukuplah kalau dirinya sendiri telah tahu bahawa ia telah berada di sasaran yang betul.    
Nah, apapun setelah banyak kali terasa diinjak-injak dan selalu diperbudak-budakkan maka jiwa ingin memperkasa diri mulai terserlah dalam diri saya. Saya bukan tidak mahu diam, tetapi kadang kala kita respon kepada agenda yang jelas menuju kepada kita adalah lebih mulia kerana kita mempertahan dunia yang diami sekian lama, mengapakah ada manusia yang harus iri hati kepada kejayaan kita? Kalau mahu perkasa, gagah dan ternama jangan mahu salah manusia lain, salahkan diri sendiri kerana tidak mampu menggapai impian yang terpendam dalam sukma perasaan yang penuh iri hati itu.Memang sewaktu saya sering diinjak-injak, saya lebih banyak mengalah kerana saya mengakui bahawa diam itu lebih baik daripada mahu bercakap. Akan tetapi kalau sudah mempunyai mulut dan hati, mengapakah harus diam setelah sekian lama kita sentiasa diperbudakkan? Tidakkah itu suatu ketakutan yang melulu setelah kita memiliki pedang pemikiran yang juga telah diasah dan sedia bertarung di medan laga. Bukanlah kerana kita mahukan sengkita, tetapi mahu mendaulatkan sebuah harga diri manusia yang sering diinjak-injak baik dalam jiwanya yang kian merana dan melara. Kita bukan mahu menyerang manusia lain dengan meminum darah kemurniaan tetapi mungkin kita sanggup menikmati darah kesombongan seseorang pahlawan intelektual yang bergelar kerana mahu menginjak-injak manusia lain yang dianggapnya sebagai semut dan kecil sahaja. Sedangkan dirinya hebat, perkasa dan pedang ilmu cukup tajam boleh memancung dan menumbangkan sesiapa sahaja di medan laga, itu pendapat dirinya kerana telah dibelit oleh nafsu kesombongan. Bak kata budak, "belum cuba belum tahu". Meskipun kail panjang sejengkal, gelombak ombak taufan beliung pasti akan ku tempuh demi melunaskan sebuah martabat diri yang selalu sahaja diinjak-injak oleh yang menggelarkan dirinya sahaja pahlawan agung di jagat raya. Sekian lama, kita diam dan terus diam, maka kita dikatakan hilang taring, dan hilang harga diri sehingga gagal membela diri sendiri, kini kita telah ada semua yang sepatutnya ada pada pahlawan ke medan juang, apakah kita harus diam seribu tahun lagi? Siapakah yang membela kita? Hidupkah lagi si Tuah suruhan Raja Melaka yang mahu mendaulatkan kita? Adakah lagi "Napolean Bonaparte" agung dari Perancis membela maruah kita yang sengaja dicalarkan? Atau adakah "Ayur Keling" pahlawan Dayak Borneo yang penuh roh kesaktian mampu menurunkan mantera keramatnya untuk kita menumpaskan kebatilan yang mahu menginjak-injak kita manusia di sini. Siapa.... siapa... beritahu kepada saya siapa lagi pembela kita? Saya ingin nyatakan bahawa dalam etnik Bisaya Sarawak pun, "Alak Betatar" merupakan lagenda yang kurang diperkata kerana beliau merupakan pembuka salasilah kesultanan Brunei, jadi banyak Bisaya semacam malu-malu mahu mengaku kehebatan seorang warga Bisaya tersohor yang pernah hidup dan bermukim di maya pada ini. Saya sebagai pencinta seni mengutip manitifek ini sebagai sebahagian keagungan bangsa bukanlah mula saya semacam meminjam-minjam keagungan yang terbina oleh "Alak Betatar" atau mahu menumpang segala kemewahan dan kehebatan anak cucu cicit, cukuplah saya sebagai manusia Bisaya menghargai sebuah cerita lagenda keagungan bangsa yang hampir dilupakan dengan catatan skrip yang baru. Saya sungguh bahagia sekali dapat menyingkapkan segala suara jeritan bangsa dalam suasana kini, agar kita mampu mengerti bahawa tidak selamanya kita diinjak-injak semahunya, kadang-kadang kita perlu melaung dan berteriak bersuara membebaskan diri sambil menjulang peribadi bangsa. Saya tetap merindukan sebuah kedamaian dalam menukangi sejarah bangsa tanpa dipaksa-paksa untuk mebuat cerita yang sengaja diada-adakan. Ini mungkin sebagai catatan sejarah anak bangsa di hari-hari mendatang. Semoga akan ada yang berasa bangga dan megah melihat bangsa mampu bangun kalaupun tidak sehebat "Alak Betatar" tetapi mengembali sejarah yang dicipta oleh "Alak Betatar".    

Apabila terbaca tulisan Dr. Fatimah Busu yang menginjak-injak majlis baca puisi yang tiada menguntungkan manusia penyair dan sejagat kemudian ditambah lagi oleh kenyataan beliau bahawa majlis Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur Ke-9 tahun 2002 lepas hanya mahu menunjuk-nunjuk kepada penyair luar sahaja, ulasan yang ditulis dalam Berita Harian, 08.02.2003 ini cukup menikam kalbu saya sebagai penyair dan sebagai peserta PPDKL 2003. Saya rasa sekali lagi saya dan rakan-rakan penyair dinjak-injak oleh sikap manusia sastera yang mahu cari nama dan sengkita sesama kita. Saya tidak menyalahkan Dr. Fatimah bulat-bulat dalam hal ini, kerana saya juga meminati tulisan beliau sebelum ini. Tetapi rasanya kalau benda itu tiada berfaedah kepada masyarakat sastera, tidak akan DBP sebagai penganjur utamanya mahu melaksanakan edisinya yang cukup panjang kali ke-9 pun sudah diusahakan. Para penyair tentunya melenting mendengar hujah "Sasterawani" kita ini. Saya tidak mencabar beliau. Tapi apakah maksud beliau mengeluarkan hujah yang sedemikian? Adakah beliau hanya menganggap bahawa tulisan cerpen, novel beliau sahaja karya yang paling afdal memperkata tyentang kemanusiaan? Adakah hanya "ilmu" yang beliau miliki sahaja yang tangguh dan ampuh di sarwajagat ini sehinggakan sanggup memperkecil dan menghina manusia lain yang telah memartabatkan puisi sekian lama. Mungkin saya orang yang tidak ternama, memperkata hal ini, hanya ikan kecil sahaja. Tapi saya berasakan tidak wajar dengan gelar sarjana dan doktor yang dimiliki oleh beliau menghina para penyair yang bermukim di daerah puisi. Adakah dengan gelaran "Dr" yang beliau miliki sudah cukup lesennya untuk menghina sesama manusia sastera yang memilih genre puisi sebagai wadah untuk diperjuang kepada masyarakat audiensnya? Mungkin Dr. Fatimah tidak membaca tulisan ini, tetapi itulah reaksi saya terhadap seorang wanita tua yang saya kagumi, tiba-tiba menjadi salah seorang yang menginjak-injak mandala puisi yang saya suburi. Mungkin SN A. Samad Said, tidak terasa kerana beliau menulis pelbagai genre bukan hanya puisi tetapi bagaimana dengan Kemala, Siti Zainun Ismail, Lim Swee Tin, T. Alias Taib, Dharmawijaya, Datuk Prof. Hashim Yaakob, A. Ghaffar Ibrahim,  dan penyair-penyair lain. Tidakkah ini suatu yang mencemuh kita warga penyair yang datangnya daripada manusia sastera sendiri yang menanggapi bahawa dirinya maha afdal dan ampuh lagi bijaksana di maya pada ini. Saya cukup terkilan ia dikeluarkan oleh manusia yang telah darah dagingnya sinonim dengan sastera itu sendiri. Kalau pun beliau keciwa tidak dicalonkan menjadi "Sasterwani Negara" pertama, bukanlah para penyair yang menjadi bahan umpatan atau musuh beliau terang-terangan. Saya tidak boleh diam kerana mahu menipu diri sendiri demi kebahagiaan orang lain. Hadirnya saya dalam persada puisi tanah air, memang dengan hajat dan perutusan yang cukup wawasan untuk bersedia mempertahan mandala genre dan karya saya tukangi.
Kadang-kadang apabila kita telah berasa diri kita hebat, kita lupa dari mana kita datang. Kita semacam telah ditunggangi oleh kuda kehebatan diri yang melampau sehingga menyamai taraf Tuhan itu sendiri. Maha sempurna, tiada cacat cela, nol kesalahan pastinya calon syurga yang sah. Passpot kematian telah dicop, janjinya di pintu syurga walaupun mulut cukup pedas dan serakah mengeji dan mengumpat rakan-rakan.      

Dalam hidup ini kita bukan  menambah musuh tetapi sahabat seramai mungkin sebelum dijemput ke alam maut.

Jangan guna mulut seenak sahaja menginjak-injak manusia lain.