Poul Ak. Nanggang atau Poul Nanggang dilahirkan
pada tarikh bertuah sempena mungkin kebetulan tanggal negara Indonesia merdeka iaitu 17 Ogos 1965 di Kampung Terdahan, Limbang,
Sarawak. Merupakan putera keempat dan anak kelima daripada tujuh adik beradik dalam keluarga keturunan Bisaya Sarawak. Mulai
menerima pendidikan formal di Sekolah Kebangsaan Kuala Awang, Limbang (1973-1978) dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah
Kerajaan Limbang, Limbang, Sarawak (1979-1983). Kemudian mengikuti latihan pendidikan guru di Maktab Perguruan Sarawak,
Miri, Sarawak(1985-1987).
Beliau amat mencintai persada penulisan. Karya
awalnya banyak tersiar dalam siaran kanak-kanak rancangan radio RTB Brunei ruangan "Taman Mekar" dan RTM sendiri bagi siaran
tempatan. Kini lebih cenderung dan menumpukan kepada genre penulisan puisi. Karya beliau pernah disiarkan dan dimuatkan dalam
beberapa akhbar seperti Borneo Post, Utusan Sarawak,Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan majalah antara lain seperti Nona,
Remaja, Mastika, Wanita dan Dewan Sastera iaitu majalah sastera tersohor di kalangan sasterawan Malaysia.
Di samping berkarya, Poul juga bergiat dalam
pelbagai aktiviti sukarela dan sosial. Pernah menjawat posisi Setiausaha Persatuan Bisaya Sarawak, Miri[PBS](1995-2000), Kesatuan
Guru Sarawak, Miri[STU],(1993-1995), dan pernah menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa, Setiausaha II di dalam Persatuan Penulis
Utara Sarawak[PUTERA] dan sesi 2003-2004 ini memegang jawatan Ketua II PUTERA. Hasil buah tangan kreatif juga telah diterbitkan
dalam pelbagai antologi puisi termasuk kumpulan puisi perseorangan beliau berjudul "Alak Betatar" diusahakan oleh PUTERA(2000).Sementara
dalam antologi bersama pula antara lain, "Peta Seniman"(1998) terbitan DBP Sabah, "Gema Membelah Gema"(1999) terbitan GAPENA,
"Gema Membelah Gema"(2000) terbitan GAPENA, "Cikgu 1998" terbitan JPN Sarawak, "Kota Asas Tamadun Bangsa"(2002)
terbitan DBP Sarawak, "Sejambak Bunga Emas" (2002) terbitan DBP Sabah &Sarawak, dan antologi dwibahasa "9th Kuala Lumpur
World Poetry Reading 2002"(2002), terbitan DBP Kuala Lumpur.
Bagi memperkasa ilmu di dada, Poul Nanggang
mengikuti pelbagai aktiviti sastera, budaya dan bahasa, antaranya Dialog Borneo I 1987 di Miri, Sarawak, Perkampungan Penulis
GAPENA II - Zon Sarawak 1997, Pertemuan Sasterawan Nusantara Ke-10 & Pertemuan Penulis Malaysia I di Hyatt Hotel,pada
17-21 April 1999 di Johor Baharu, Johor, Simposium Penulis Pelbagai Kaum di Miri, Sarawak 1999, Festival Penulis Pelbagai
Kaum di Seremban 2001, Hari Puisi Nasional di Langkawi tahun 2000, Hari Sastera di Santubong, Sarawak 2001, Perkampungan Penulis
Sarawak II 2002 di Miri, Pertemuan Dunia Melayu di PWTC Kuala Lumpur, 2001 dan "9th Kuala Lumpur World Poetry Reading 2002"
di Kuala Lumpur. Kemudian kejayaan paling manis dalam jagat raya sastera apabila dinobatkan sebagai "Karyawan Harapan
Negeri Sarawak 1998" dan dalam bidang kemasyarakatan dinobatkan sebagai "Tokoh Belia Negeri Sarawak 1996"(Pingat Gangsa) oleh
Kerajaan Negeri Sarawak.
Dalam
pada itu, Poul Nanggang juga pernah menyampaikan kertas kerja dan sebagai pemakalah dalam antara lain Festival Sastera
Perpaduan Malaysia yang menyelitkan acara Simposium Penulis Pelbagai Kaum III pada 03-05 September 2002 di Seremban,
Negeri Sembilan; Pertemuan Dunia Melayu di PWTC Kuala Lumpur 2001 pada 12-14 Oktober 2001 dan Seminar Pembangunan
Bisaya II 2002 di Limbang, Sarawak. Sebagai manusia biasa, Poul juga ingin berjaya di dalam bidang pendidikan dan kerjayanya.
Pada September 2002 yang Poul Nanggang telah dianugerah Bacelor Pendidikan(Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama)
Dengan Kepujian daripada Universiti Putra Malaysia, Serdang, Malaysia secara Pendidikan Jarak Jauh. Kini masih bertugas menjadi
guru menjawat jawatan Penolong Kanan Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan Kelapa Sawit No.4 Subis, Bekenu, Sarawak. Dalam
Persatuan Bisaya Sarawak, Miri beliau pernah bersama-sama para kerabat Bisaya Sarawak menjayakan beberapa program yang cukup
besar dan gah dan menabur khidmat bakti serta titik keringat antara lain Malam Kebudayaan Bisaya Sarawak 1995, Malam Kebudayaan
Bisaya Sarawak 1998, Pesta Sukan &Permainan Antara Cawangan Persatuan Bisaya Sarawak(1991&1997),Pesta Sukan Rakyat-
Acara Lumba Kerbau(1995&1997), Seminar Pembangunan Bisaya I 2000, Dialog Bisaya di Miri 1997, "Seminar Kepimpinan Peringkat
Negeri Sarawak 1993", menyertai "ASEAN YOUTH LEADERSHIP CAMP" di Pueh Youth Camp, Sematan, Kuching, Sarawak pada 25-30
Ogos 1993 serta mewakili negara kita Malaysia, menghadiri "ASEAN Council Of Teahers Convention 1994"
di Kuching pada 14-17 November 1994. Dalam kesibukan tugas rasminya beliau masih lagi mampu meluangkan waktu memerah tenaga
bersama-sama berkhidmat untuk masyarakat demi menjanjikan hari esok yang gemilang untuk masyarakat, bangsa dan negara.