Sesungguhnya saya meletakkan jawatan guru itu sebagai yang ketiga dalam hierarki pilihan saya sewaktu saya bersekolah.
Maka dengan takdir Tuhan, saya menjadi seorang guru. Memang banyak sekali pahitnya menjadi seorang guru daripada manis, kalau
dibandingkan dengan kakitangan kerajaan yang lain khasnya daripada faktor insentif dan kemudahan. Jelas sekali guru amat jauh
tertinggal di belakang, maka itulah rasanya status guru itu kurang dimartabatkan oleh masyarakat. Hanya baru-baru ini sahaja
ada perubahan dalam usaha mengangkat maruah guru. Sememangnya dalam dunia yang serba moden ini, kita tidak akan lari bercakap
soal imbalan dan ganjaran. Apabila skim gaji guru mulai dinaiktarafkan ke peringkat diploma, baru kita melihat ada perubahan
sikap masyarakat terhadap kerjaya guru. Dalam pada itu sememangnyalah guru merupakan "jurutera, doktor, pentadbir, ahli ekonomi,
pemimpin" masyarakat yang sekian lama memegang watak yang pelbagai sehingga bidang kuasa sebenarnya hampir terlupa. Guru
kini dipandang dengan status gaji yang cukup memberangsangkan berbanding lima belas tahun yang lalu ketika saya memulai karier
sebagai pendidik.
Dalam perkataan yang mudah, menjadi guru amat mudah sekali. Hanya datang ke kelas kemudian mengajar bahan yang mahu disampaikan
ke dalam ruang tempurung otak muridnya. Soal berkesan atau tidaknya pengajaran tidak diambil kira. Yang penting ia hadir ke
kelas dan kelasnya terkawal. Inilah prinsip asas menjadi guru. Soal-soal persediaan, pedagogi, psikologi, sosiologi, moral,
nilai budaya dan apa jua ilmu yang dikaitkan dengan pendidikan adalah berkait rapat dengan pengajaran guru. Guru tidak
akan hanya datang ke kelas, semata-mata mengutamakan lulus peperiksaan sahaja, dan mengabaikan aspek lain, meskipun inilah
tujuan utama murid dan ibu bapa menghantar anak ke sekolah, supaya mencapai markah/gred yang cemerlang dalam subjek dipelajari.
Oleh itu, tugas guru semakin rumit pada hari ini, walupun dikatakan kita maju tetapi aras pemikiran masyarakat masih
mundur tentang pendidikan. Ibu bapa seolah-olah menghantar anak ke sekolah melepaskan tanggunggjawab mereka di rumah sahaja
daripada himpitan masalah. Apa tidaknya, mereka ke sekolah hanya mengharapkan seolah-olah guru itu "TUHAN" yang boleh
mengubah muridnya. Peranan ibu bapa juga penting seperti menyediakan bahan pembelajaran yang cukup, bimbingan & nasihat,
belaian kasih sayang, harapan dan impian masa hadapan. Kalau sekadar hanya tahu menghantar anak ke sekolah tanpa menimbang
hal di atas, samalah rasanya kita menghantar anak anjing atau kucing ke sekolah. Harus difahami bahawa guru itu bukanlah malaikat
atau Tuhan, ia juga manusia biasa, kita harus sama-sama saling membantu dalam usaha mengangkat martabat pendidikan manusia
itu sendiri.
Selain itu, dalam waktu terdekat ini kemudahan guru-guru khasnya di pedalaman juga amat kurang diberikan perhatian khasnya
rumah, pejabat, elektrik, air bersih,ICT walaupun kita war-warkan semua ini, realitinya kita cukup tertinggal. Semuanya masih
daif dan kekurangan. Malah yang amat memilukan, tenaga staf juga berkurangan, ada kerani ditarik ke tempat yang lebih selesa,
ada penyelia asrama tidak dipindahkan ke stesen lebih baik di mana kuasa-kuasa atasan menggunakan tangan ajaib bagi mencetuskan
suasana ini lebih tidak terurus. Banyak guru kita menjadi juru taip dan juru urus hal-hal pejabat, asrama, pulangan bulanan
kepada pihak pejabat yang di antara lima hingga sepuluh perkara yang disempurnakan ke pejabat sambil mengejar tarikh matinya.
Guru-guru kita lebih tertekan, di antara mendidik dan tugas yang luar daripada bidangnya. Jangan salah pencapaian sekolah
kita merosot, kerana pihak pentadbir mahukan kerja perkeranian yang cekap menggunakan tenaga guru, daripada mementingkan soal
akademik. Ini dibuat agar dalam mesyuarat bulanan pentadbir itu tidak disenaraihitamkan oleh ketuanya. Soal pelajar
lemah akademik, mudah sahaja alasannya kerana sememangnya "murid itu lembap,materialnya tidak baik".
Kemudian, perlu juga saya nyatakan lontaran peribadi saya bahawa guru itu bebas mengajar muridnya dengan apa cara kaedah,
teknik,formula atau programnya. Tidak boleh dikatakan bahawa guru yang garang itu tidak baik dan kurang mendapat perhatian
murid. Sementara guru yang lemah lembut dan penuh gaya sopan-santun itulah yang paling baik dan afdal dalam dunia pendidikan.
Saya sendiri mempunyai alasan yang tertentu, bagi saya seseorang guru yang paling berkesan ialah guru yang dapat memindahkan
pengetahuan atau segala ilmu yang dimiliki kepada murid-muridnya dan akan sentiasa diingat sepanjang kehidupan pelajar itu
di maya pada ini. Inilah sebaik-baik guru, meskipun menggunakan kaedah yang tidak pernah diwartakan oleh pakar pendidikan
itu sendiri. Tiada gunanya kita dianggap baik oleh masyarakat dan murid itu sendiri, tetapi kesan pelajaran yang kita tuangkan
ke dalam jasmani dan rohaninya hambar dan tidak berbekas, sesungguhnya guru ini gagal melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan
kepadanya. Saya lantang menyuarakan hal ini, kerana saya juga guru dan pernah menjadi murid dan didedahkan dengan segala
keampuhan teknik, kaedah, pendekatan, cara, yang boleh digunapakai dalam arena pendidikan. Apa guna semuanya kalau satu pun
tiada yang melekat dalam otak pelajar kita. Sia-sia sahaja jawapan ringkasnya. Untuk ini saya tidak akan dapat sama pendapat
dengan semua guru, maha guru atau sesiapa sahaja yang mendabik dada dirinya pendidik yang ampuh dan tangguh, akan tetapi ini
adalah pendirian saya sendiri setelah sekian lama bergelumang dalam kancah ombak lautan pendidikan itu sendiri. Mungkin orang
lain pula definisinya tentang mendidik itu. Saya lebih suka melihat impaks/kesan kepada murid itu sendiri sama ada jangka
panjang atau pendek.
|
|
|
|
Saya memang tidak berasa keciwa setelah menghampiri lima belas tahun menjadi pendidik. Malah saya bangga, kerana saya
telah berusaha keras untuk mengangkat martabat anak didik saya hingga mencapai prestasi yang membanggakan. Saya tidak akan
mungkin dapat menyenaraikan satu-persatu segala catatan kenangan itu, tetapi rasanya saya telah menunjukkan iltizam dan semangat
yang cukup kental untuk menguatkan keazaman murid saya agar berjaya.
Bermula di SK. Long Jeeh, Baram tahun 1988 yang lalu. Tahun itu saya ditugaskan menjadi guru kelas Tahun 5. Pencapaian
UPSR tahun itu 0% bagi sekolah itu, kemudian meningkat pada tahun 1989 hingga 1990 dan seterusnya. Saya sebahagian ahli pasukan
yang mengangkat martabat Long Jeeh dikenali sebagai sekolah eliti ketika itu dalam akademiknya. Bermula 1990 saya ditempatkan
di SRB. St. Jospeh, Miri, sekolah yang sememangnya gah pencapaiana akademiknya. Sekali lagi saya diarahkan untuk menjadi guru
kelas 5C.
Di sini saya banyak sekali belajar tentang mentaliti masyarakat dan pandangan mereka. Sebagai guru yang sudah masak dengan
asam garam pendidikan itu sendiri, saya tidak akan mudah terjerumus dalam kolam pandangan rendah mereka. Lantaran maruah diri
saya adalah tinggi, saya juga sama seperti orang lain. Jangan memperlekeh saya sebagai manusia yang yang harus diinjak-injak.
Dalam pada itu, saya juga tidak menunjukkan lebih "sudu daripada kuah" dalam hal ini dengan sesiapa yang berhubung dengan
saya. Tapi di sinilah saya melihat bahawa masyarakat memandang "status kehidupan guru itu sendiri", meskipun ilmunya
kurang kalau kaya raya dan mewah, pastinya dianggap baik. Sayang sekali, penilaian itu melesit daripada tabung minda saya.
Saya bangga di antara pendidik di sekolah ini yang mengangkat dan menjulang prestasi sekolah ini sekian lama saya berbakti
ini, meskipun saya begitu, saya tidak pernah memasang angan-angan untuk diberikan penghargaan, kerana saya tahu siapa saya
mengikut mata yang melihat saya? Tetapi saya bersyukur bahawa saya tidak pernah mencari musuh di sini, dan tiada siapa mendendami
saya kerana hanya pandai bercakap dan kurang bekerja. Saya membuktikan, bahawa budak jahat dan hitam dilabelkan pada awalnya
kepada saya, mulai bertukar fenomena di penghujung kerjaya saya di sini. Sehingga 01 Mei 1998, saya dinaikan pangkat ke gred
DGA5 di salah sebuah sekolah di Niah iaitu SK. Rumah Mentali, Sungai Saeh Merah, Niah.
Disinilah saya memasang cita-cita, bahawa di samping mengangkat dan memartabat murid itu sendiri, saya juga harus menjulang
dan mengangkat martabat diri saya sebagai manusia dan juga guru. Saya mulai belajar sendiri secara PJJ di UPM. Sememangnya
adalah mata-mata yang mulai cemburu dan memandang rendah kemampuan saya. Sehingga saat inipun, saya dapat bayangkan nostalgia
itu. Tetapi kepahitan itu adalah ubat yang mujarab dalam kehidupan saya. Di samping saya menjulang harga diri saya sebagai
manusia, saya tidak pernah melupakan tanggungjawab, peranan, dan tugas yang diarahkan kepada saya. Saya menjalankan dengan
penuh komitmen, dedikasi dan iltizam. Kebencian kepada saya jelas sekali, pada tahun 1999, prestasi ditakdirkan mendatar dot/titik
sahaja. Siapapun tidak keciwa dan marah, ini soal survival dan periuk nasi saya yang naik pangkat. Kalau ada manusia yang
mahu masukkan pasir ke dalam periuk nasi saya, apapun saya sanggup menghadapinya. Sesungguhnya saya melakukan itu semua.
Semuanya ini menjadi saya matang dan berhati-hati dalam kehidupan. Tidak semuanya pahit itu akan membinasakan dan tidak
semuanya manis itu akan kekal abadi membahagiakan kita. Kita akan menjadi lebih bijaksan menanggapi segala kemungkinan ini
dalam hidup kita. Saya pelajari semua ini melalui liku-liku yang berhalangan dalam hidup ini. Tiada buku yang menceritakan
hal ini, tiada bab atau bahagian kuliah pensyarah yang mengisahkan hal ini, atau tiada kurikulum di sekolah atau universiti
yangmengutarakan hal ini. Ini rempah kehidupan yang menaikkan aroma selera kehidupan saya. Saya naik bukan kerana memburuk-burukkan
manusia lain atau menyepak kerusi orang itu kemudian saya duduki, tidak. Tidak sama sekali, Permainan saya, permainan
bersih. Jangan cari masalah dengan saya, saya bukan mendatang masalah kepada manusia lain. Saya banyak sekali berkongsi gagasan
pemikiran saya dengan sahabat saya yang saya anggap mengerti diri saya, Saudara Abd. Razak Hj.Sugong, teman akrab saya.
|
|
|
|
Sungguh-sungguh saya katakan, kalau saya diberikan peluang lagi untuk hidup semula, saya tidak akan memilih kerjaya guru
ini sebagai punca sumber ekonomi saya. Bukanlah sombong atau memandang rendah kepada kerjaya ini. Tidak sama sekali. Tetapi
selalu sahaja perasaan saya berkata, bahawa saya seolah-olah banyak berasakan jiwa saya "diinjak-injak" dalam menjalani kerjaya
ini. Saya melihat bahawa tiada usaha tuntas membawa dan mengangkat kaum guru yang sebaya dengan saya secara berani. Bagi saya
bidang ini hanya mulia pada pandangan masyarakat sahaja. Dikatakan juga, kerjaya ini banyak cuti rehat yang boleh tumpukan
kepada hal-hal lain atau keluarga. Itu semuanya hanya pada mata orang luar yang melihat, hakikatnya kita masih lagi terikat
kepada perkara-perkara lain yang megikat dan merantai kita. Ada kalanya kita datang pada hari Sabtu untuk mesyuarat, gotong-royong
dan segala macam aktiviti sehinggakan Ahad pun digunakan kerana kita menggangap bahawa orang lain hanya cuti pada hari "Ahad"
dan maka kita dikorbankan bekerja pada hari itu. Semuanya ini telah terakam dan disimpan dalam nostalgia memori kenangan kita.Akan
tetapi masih juga masyarakat tidak puas hati dengan sumbangan guru yang telah mengorbankan dirinya ini.
Tidak lagi dikira, pagi subuh,petang dan malam yang kita gunakan untuk memberikan kelas bimbingan atau apa sahaja namanya
bagi memahirkan murid kita lulus peperiksaan awam seperti di peringkat rendah UPSR sebagai kayu ukur pencapaian sesebuah
sekolah itu. Baik mana pun sekolah itu, yang jelas di zaman ini dan ketika saya mencatatkan tulisan saya di web ini,
instrumennya ialah pencapaian UPSR sekolah itu sendiri. Lantaran kini manusia mementingkan pencapaian ilmu itu sendiri.
|
|