Saya lebih suka bicara soal sastera kreatif kerana ia mempunyai dimensi yang cukup luas untuk diterokai dan sebahagian
daripada kemanusiaan dan kehidupan. Maka saya memilih bidang ini untuk diperkata kerana saya menceburi dan terhibur hidup
dalam nafas bidang ini - mungkin orang lain memandang rendah sifat keilmuannya, terpulanglah kepada akal budi seseorang manusia
itu sendiri, tidak perlulah saya mengadug domba dan menegak benang basah, untuk mendaulatkan buah akal budi saya peribadi..
Adalah beberapa kerat manusia, mengatakan bahawa manusia sastera itu hanya hidup pada kata-kata tulisannya sahaja dan
tidak mampu menjadi pemimpin. Rasanya penulis itu juga manusia biasa, bukanlah mahu diangkat jadi pemimpin, jauh sekali tetapi
akan budi dan fikirannya jangan pula dipandang rendah oleh manusia lain yang mengganggap dirinya "intelektual" atau pemikir
agung bangsa. Saya bukanlah mahu membela manusia sastera, manusia itu sendiri memanglah tidak semuanya betul , ada yang pura-pura
dan hipokrit, cakap depan kiri, buat belakang kanan- cakap tidak serupa bikin. Ada yang hanya pandai mengarah dan menyuruh
pakai telunjuk kiri dan kanan, bawah dan atas. Semua itu sikap manusia, bukan sahaja orang sastera mungkin juga termasuk ahli
sains, ekonomi, pentadbir,pakar perubatan, tukang farmasi, tukang gigi, akauntan, jurutera, politikus,guru, tukang sapu bahkan
seorang menteri pun ada melakukan ini demi "survival" dirinya sendiri, masa depannya, keluarganya, anak-anaknya, isterinya
malah semua lingkungan yang ada di sekitarnya.
Saya cukup bangga dapat bermukim dan berdiri gagah di mandala sastera, sekurang-kurangnya saya akan menjadi bijaksana
untuk diri saya dan anak-anak saya di masa akan datang. Saya tidak pernah meminta-minta sedekah akan buah akal manusia lain,
tetapi kalau yang baik saya akui akan meniru dan menjadikan "alkitab" dalam hidup saya. Saya tidak mungkin malu menjadi peniru
yang yang bijaksana, bukan melulu jadi peniru.
Saya berkarya bukanlah untuk dipuji tetapi dinilai dan dikritik supaya kita manusia dapat manfaatnya, kalau pun ada karya
itu dianggap baik untuk para pengkritik sastera itu merupakan bonus kepada saya selaku penulis.Tujuan saya menerjunkan diri
dalam bidang ini bukan untuk kaya, popular atau nama hebat di sekeliling dunia, tetapi dapat menyumbang ke arah perkembangan
minda tamadun bangsa dan untuk anak-anak cucu di waktu hadapan akan mereka lebih mengerti akan makna kehidupan yang kita lalui
itu. Niat saya berkarya untuk sesama manusia, bukan tujuan mengeji atau memburuk-burukkan manusia lain tetapi mendapat hiburan
akan fikiran, pengajaran kehidupan ini kerana proses itu tiada berhenti walau mana tinggi ilmu manusia itu sendiri dan nilai-nilai
estiteka dalam kehidupan ini. Tanpa sastera hidup ini tiada beraroma dan warna yang berseri. Bagi saya, sesungguhnya
saya amat membenci akan sikap merendah-rendahkan sastera kita Malaysia maksudnya sastera yang ditulis dalam Bahasa Malaysia
setelah sekian waktu kita merdeka. Saya bangga dengan pencapaian Bahasa Malaysia, dan bukanlah bermakna saya menentang penggunaan
bahasa asing dalam ssistem pendidikan kita. Tetapi saya percaya sastera tidak akan dipinggirkan walaupun kita bersaing
dan berlumba-lumba mengejar kemajuan sains, teknologi maklumat, dan segala macam disebut pembangunan dan kemajuan.
Kemunduran sastera kita bukan kerana kita kurang penulis atau karyawan, tetapi jiwa mereka dipatahkan oleh beberapa halangan
yang besar di hadapan mereka. Sebagai penulis bukan menjanjikan kemewahan atau kesenangan seperti di Barat, tetapi kita umpama
pengemis mengharapkan karya kita diterbitkan dihargai oleh orang lain. Maka bagi aya, tugas saya hanya menulis, biarlah orang
lain kata apa pun tentang karya saya, maknanya saya telah melunaskan tanggungjawab saya sebagai warga negara yang berkecimpung
dan ada bakat dalam bidang ini. Mungkin pihak pemerintah tidak hanya cukup memberikan insentif seperti sekarang kepada para
karyawan, malah pelbagai peluang lain yang besar, seperti dana untuk anak-anak belajar atau dirinya sendiri, agihan
tanah kerajaan, agihan rumah kos sederhana, peluang menjadi tetamu majlis sastera, bintang kebesaran, wakil dalam
Dewan Negara atau dalam pelbagai agensi kerajaan , di peringkat negeri, peluang niaga untuk penerbitan buku, menduduki
ahli majlis beberapa badan bercorak bahasa,sastera dan budaya seperti Istana Budaya, Galeri Seni dan lain-lain.
|