BISIKAN KALBU SEORANG PERINDU

Kerabat Terdekat
Home | Ayah Pergi Selamanya | Sebuah lagi musibah | Festival Puisi Perlbagai Kaum Malaysia 2005 | Kolokium PUTERA Ke- 25 Tahun | Lupa Diri Bila Jadi Orang Besar | Profil Diri | Paideia | Famili Asas | Photo Kenangan | Paparan Nostalgia | Karya Diterbitkan | Khabar Berita | Stesen Berkhidmat | Asal Usul | Kerabat Terdekat | Wadah Sosial | Sahabat Akrab | Kertas Kerja | Speculum In Aenigmate | Wacana Bisaya | Penghargaan | Weltanschauung Pendidikan | Eksplikata Bisaya | Eksplikandum Sosial | Kasihnya Ibu | Ego-Cogito | Agenda Pendidik | Nilai Puisi | Daerah Puisi | Menukangi "Diinjak-Injak" | Esok Bermakna | Budayaku & Bangsaku | Mulut Terkunci | Memperkasa Diri | Apologi Kepada Bangsaku | OUNA -Laluan Beronak Duri. | Memperkasa Hati | Anak-Anakku | Lagu Bisu Suara Hati

Ikatan Persaudaraan Melambangkan Keperibadian Manusia Maka Semakin Ramai Saudara Mara Maknanya Hidupnya Tidak Kesunyian Waktu Susah Dan Senang. 

Saudara Poul Nanggang mempunyai tujuh orang adik-beradik. Daripada tujuh orang ini lima orang adalah lelaki dan dua orang pula adalah perempuan. Bapa mereka Encik Nanggang Ak.Julang dan ibu mereka Puan Kasi Ak. Lawai. Bagi Poul sejak kecil kawalan disiplin oleh bapanya mengajarnya erti "belajar hidup susah". Maka dalam meniti hidup realiti, segala kesulitan, kesukaran, halangan, rintangan, cabaran dan apa jua liku hidup ditempuhi dengan penuh tabah dan berani. Sesungguhnya  "tiada yang pipih datang melayang dalam hidup ini dan yang bulat datang bergolek", melainkan dengan titik keringat hangat dan usaha gigih tanpa mengenal erti putus asa. Cuba, dan terus mencuba tanpa mengenal erti putus asa.Sepuluh kali kegagalan tiada bermakna akan  mematahkan semangat juang sehingga menjulang piala kemenangan dalam hidup. Pertaruhan terbaik dalam hidup ialah kebahagiaan dan kesejahteraan. Bagi Poul tiada tuah datang bergolek atau nasib datang melayang melainkan usaha dan kekuatan peribadi untuk mendapat kejayaaan. Biar sekecil manapun.    
 
Puan Saniah Nanggang adalah anak sulung dalam keluarga Encik Nanggang Julang dan Puan Kasi Lawai. Kini menjadi seorang suri rumah sepenuh masa. Telah mendirikan rumahtangga dengan Encik Ronnie Tay @ Yubil Lawang yang kini bekerja dengan POS Malaysia di Miri, Sarawak. Mereka telah dikurnikan lima orang anak. Puan Saniah, merupakan kakak yang banyak menyumbang tenaga demi kebahagiaan adik-adiknya dalam membina keluarga membantu kedua orang tua mereka. Sebuah penghargaan kepadanya daripada adik-beradik yang lain.
 
Encik Stephen Kalong Nanggang merupakan anak kedua dan abang pertama Saudara Poul Nanggang. Kini menjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah Julau sejak tahun 2003 yang lalu. Baru-baru ini telah mendapatkan ijazah pertamanya daripada universiti seberang laut di United Kingdom dalam bidang Pentadbiran Dan Pengurusan. Baru sahaja menghadiri konvokesyen di Sunway Laggon, Kuala Lumpur pada 2003 ini. Suatu kejayaan yang cukup bermakna baginya dan seluruh keluarga.  Telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Margaret Missy Sarawak, berketurunan Iban dari Song, Sarawak. Telah dikurniakan empat orang anak. Kini menetap di Kuching, Sarawak. Puterinya sulung, Imelda Dumak telah menamatkan pengajian daripada Universiti Putra Malaysia pada tahun 2002 yang lalu dan kini menjadi pendidik di SK Batu Niah, Miri  sementara puteri keduanya, Dapney Dewi sedang mengikuti program perubatan dan berada tahun kedua di UNIMAS.  Beliau telah banyak membantu keluarga khasnya ayah kami Encik Nanggang Julang dalam mengangkat martabat ekonomi keluarga sejak zamannya mulai berkerja lagi. Mulai berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Sarawak pada tahun 1973 di Belaga, Sarawak.
 
Encik Richard Toaiang Nanggang pula merupakan abang kedua Saudara Poul Nanggang yang kini menjawat jawatan Guru Besar di SK. Lubok Tekurok mulai awal Jun 2005 yang lalu setelah sekina lama di SK Bukit Batu, Limbang. Telah lebih dua puluh tahun menjadi guru.Pada mula perkhidmatannya berkhidmat sebagai guru biasa di Sekolah Menengah Kerajaan Limbang, Limbang. Kemudian dinaikkan pangkat ada tahun 1982 sebagai Guru Besar di SK. Pengkalan Jawa, Limbang. Mempunyai lima orang anak. Dua orang daripada anaknya lulusan universiti iaitu Adeline Amy lulusan Pentadbiran Awam UiTM dan Adrian Allan Yumbai  menjadi pegawai diplomatik di sebuah kementerian penting di Putrajaya.
 
Encik Bernard Suling Nanggang pula merupakan abang Poul Nanggang yang ketiga yang mana mempunyai hubungan lebih intim dan mesra dengan beliau sejak kecil lagi.  Lulusan dalam bidang kejuruteraan awam. Saudara Bernard Suling kini menjawat sebagai "Jurutera Kanan" di SESCO Sarawak di Kuching. Sudah ada title "Ir". Beliau merupakan di antara anak Bisaya Sarawak  yang dianggap cemerlang dalam mencetak  pencapaian akademik khasnya SC pada waktu itu di sekolah sehingga ditawarkan untuk melanjutkan pendidikan ke United Kingdom dalam bidang Kejuruteraan Awam. Beliau telah diterima belajar di Universiti Warwick, England iaitu di antara empat universiti yang terbaik di Britain. Sebelum itu beliau belajar di Oldham, England  sebelum diterima masuk di Universiti Warwick. Beliau juga pernah mencipta keputusan peperiksaan yang terbaik di peringkat universiti. Pernah berpeluang merantau ke Korea, China, Hong Kong, Jepun, Amerika Syarikat dan sebahagian Eropah ketika belajar dan bertugas sebagai pegawai SESCO.  Minat  zaman remajanya membaca dan kini meminat permainan golf. Walaupun memegang jawatan tinggi dalam sektor agensi kerajaan, Bernard Suling  lebih gemar menunjukkan sikap "low profile" dalam hidupnya yang bahagia bersama keluarga. Sudah mendapat gelar "Ir" tanda pengiktirafan sebagai ahli pakar dalam kejuruteraan awam yang diceburinya sekian waktu. 
 
Saudara Alvin Yumpud Nanggang merupakan satu-satunya adik lelaki Poul Nanggang yang juga cemerlang pencapaian akademiknya sehingga ditaja biaya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia untuk melanjutkan pendidikan ke England dan lulusan jazah dalam jurusan Elektrik & Elektronik daripada Universiti Liverpool, England. Sebelumnya dipilih JPA untuk memasuki kolej persediaan di Kuala Lumpur  Lalu kemudian ke England bagi program yang dipohonnya.  Pernah  bertugas dengan syarikat gergasi telekomunikasi negara iaitu TELEKOM di Miri, Sarawak. Selain itu pernah berkhidmat di Limbang dan Kuala Lumpur dalam syarikat ini. Mulai Ogos 2003, Alvin Yumpod Nanggang telah menjawat jawatan baru di SHELL Sarawak Berhad sebagai Pegawai Telekomunikasi di syarikat gergasi hebat negara ini.Beliau merupakan seorang yang pendiam dan kurang bercakap.Pernah menabur bakti kepada masyarakat Bisaya Sarawak sebagai Pengerusi, Majlis Makan Malam Sempena Malam Kebudayaan Bisaya Sarawak, anjuran Persatuan Bisaya Sarawak, Cawangan Miri pada tahun 1998 di Hotel Mega, Miri.      
 
Cik Elam Nanggang, pulang satu-satu adik perempuan dan bongsu kepada Poul Nanggang. Tamat pengajian setakat Tingkatan Lima. Kini memberikan pengorbanan dan tumpuan menjaga kebajikan kedua orang tua kami yang sedang tua khasnya bonda kami Puan Kasi Lawai yang sering sakit-sakit. Beliau merupakan orang harapan dan kubu utama tempat kedua orang tua bergantung. Pengorbanannya amat besar kepada kedua orang tua kami dan keluarga. Semoga suatu hari kelak, beliau dapat kebahagiaan dan kesejahteraan dalam hidupnya. Semua ahli keluarga  amat bangga dan rasa terhutang budi  dengan pengorbanan yang telah dicurahkan itu.   

emb.jpg

Richard Toaiang seorang Guru Besar merupakan
 abang kedua Poul Nanggang.
 
Pulau Labuan tidak berbukit,
Ada bukit si batu arang,
Budi kalian tidak sedikit,
Dari dahulu hingga sekarang. 
Dalam meniti kehidupan yang bagaikan gelombang ganas ini sememang kita tidak mungkin sunyi daripada segala macam cabaran dan halangan yang mencabar. Namun setakat ini semuanya masih lagi dapat dibendung dan didepani dengan penuh waspada. Kita bersyukur kepada Tuhan dan Dewa Petara kerana masih lagi menghulurkan tangannya mengangkat kita semua. Sesungguhnya berkat segala kesusahan di zaman silam itu telah banyak mengajar kita tentang kehidupan. Kalau kita lupa semua, renungilah kembali 20-40 tahun yang lalu di mana kita berada. Rakamkan semua itu, betapa kita semua adalah anak-anak yang lahir daripada kegigihan bukan dianugerahkan harta melimpah dan kesenangan yang ditatang bagaikan anak-anak raja di kratonnya. Semuanya ini dicetak dalam memori kita, dan ingatan kita yang masih tajam itu telah menyedarkan hati, mata dan fikiran kita agar membina kehidupan yang lebih baik daripada catatan 20-40 tahun yang  lalu. Semua kita adik-beradik telah berasa perit, payah, jerih kehidupan yang mungkin hanya kita mampu mendefinisikan dalam hidup kita. Kita bukanlah anak-anak yang hidup dengan kemakmuran, tetapi saya ditekan dan belajar erti kehidupan kita sebagai hidup susah. Tapi kini kita telah menikmati kehidupan yang lebih ampuh dalam perjalanan kita. Kita patut bersyukur kepada Dewat Raya yang memberikan kesempatan untuk hidup makmur di penghujung kehidupan kita, meskipun di awalnya kita hidup merana dan sulit semuanya menjadi azimat berharga bagi kita semua. Sesungguhnya, di kala itu tiada manusia yang menghargai kita, mengenal dan menghulurkan tangan, kita dikenali hari ini kerana kegigihan kita mencipta status kehidupan yang ampuh. Sememangnya kita amat terhutang budi kepada kedua orang tua kita, walau bagaimana buruk  sekalipun mereka adalah dua orang manusia yang menjadikan kita cekal, berakal, berbudi dan dengan apa yang kita miliki hari ini. Tanpa mereka, siapalah kita pada hari ini?  Sesungguhnya tiada siapa yang patut kita banggakan hari ini selain kedua orang tua ini yang lelakinya bernama Encik Nanggang Julang dan perempuan Puan Kasi Lawai. Mereka berdua telah menunjukkan jalan kehidupan kepada kita agar kita tidak mudah lupa sejarah kita, asal-usul kita, asam garam kehidupan kita. Mungkin kalau kita asyik dilimpahkan kesenangan di zaman muda kita, akan akan mudah jinak dengan kesenangan dan  tidak sedar bahawa segala kedukaan yang menjalar dalam hidup kita adalah ubat pahit yang menjadi penawar yang mujarab dalam mengadunpulih segala penyakit dan kekusutan dalam hidup ini. Semua telah mengerti akan hal ini. Inilah nikmat segala keperitan yang kita lalui sekian lama, namun janganlah kita mudah lupa semua itu. Meskipun ada kekusutan yang ada, semuanya dapat kita tempuhi dengan ketabahan kerana sememangnya telah diajar dan dilatih dengan segala keperkasaan hidup untuk menghadapi segala kemungkinan biar di mana, siapapun yang akan kita hadapi. Tiada kata putus asa, atau mengibar bendera putih sebelum berjuang.   
Saat-saat dukacita melanda dirinya ketika kembalinya nonda tersayang di Hospital Umum Miri pada 29 Julai 2003 sekitar jam 12.30 tengah hari setelah sekian lama menderita radang paru-paru. Bonda telah selamat kami sempurnakan di Tanah Perkuburan Beliadau, Limbang pada 31 Julai 2003 dan sebelumnya disembahyang di Gereja St. Edmund, Limbang sekitar jam 12.30 tengah hari pada 30 Julai 2003.  Majlis sembahyang dilakukan oleh Father John Chia dihadiri seluruh kaum kerabat jauh dan dekat di Limbang. Pemergian bonda membawa makna yang cukup besar dalam hidup dan keluarga kami. Meskipun begitu, perjalanan kehidupan mesti diteruskan. Secara kebetulan saya baru sahaja menyiapkan manuskrip novel saya "Diinjak-Injak" dan salah sebuah bab di dalamnya berbicara tentang bonda, arah pandangan dan pemikirannya. Saya tertangguh menyiapkan pada awal 2003 di mana ketika itu sakit teruk dan menderita di hospital selama hampir sebulan, namun berkat Tuhan, bonda masih terus bernafas hampir tujuh bulan diberikan berkat oleh Tuhan untuk kehidupan bersama anak-anaknya dan para cucunya. Tuhan tetap pemurah kepada anak-anaknya yang berdoa kepadanya. Sepanjang waktu sakitnya, saya dan anak-anak akan tetap melawat dan berdoa untuk bonda di rumah adik Alvin walaupun sakit cukup berbisa dan menyeksa dirinya. Namun bonda gagahi jua mengahdapi ketabahan hidup ini, saya sering memberikan kekuatan untuknya terus percaya kepada Tuhan dan sentiasa berdoa menghadapi hidup ini. Percaya semua itu adalah anugerah Tuhan kepada kita. Saya sering membawa ketiga-tiga anak saya, dan juga anak-anak adik Alvin yang masih kecil untuk berdoa dan  memohon limpah rahmat Tuhan kepada bonda kami tersayang ini. Memang betul gaya dan pertuturan saya agak kasar kerana corak hidup dan budaya lalu tetapi jiwa saya tetap muni dan tulus dalam setiap kali berdoa untuk bonda sebagai seorang ibu yang berjasa kepada anak-anaknya. Pemergian bonda memang tidak harus ditangisi, kerana semakin lama ia  sakit maka semakin lama ia menderita menahan segala kesakitan yang menggigit dirinya. Bukanlah pula saya tidak sayang akan bonda, tetapi melihat penderitaannya, biarlah Tuhan memberikan kedamaian dan kesejahteraan kepadanya di alam yang kekal. Semoga segala doa-doa kudus kami anak-anaknya tetap memberikan kekuatan kepada hidup bonda yang baru di syurga yang fana. Mohon Tuhan memberkati dan melindungi bonda jauh daripada segala air mata, penderitaan dan kesakitan yang berpanjangan.  

PERSELISIHAN DALAM KELUARGA TIDAK SAMA PERSELISIHAN DENGAN MANUSIA LAIN. SAUDARA TETAP SAUDARA.

KEHIDUPAN HARUS DITERUSKAN DENGAN KETABAHAN.